DARI MEJA SETIAUSAHA KEHORMAT KPPK KEDAH
Salam Sejahtera 1NUTP, 1Malaysia, Selamat Tahun Baharu 2012 dan Gong Xi Fa Cai kepada semua guru.
Tahun 2011 merupakan tempoh yang bersejarah dan bermakna bagi NUTP Kedah yang telah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti sosial, lawatan, taklimat, ceramah dan 'roadshows'. Hari Guru Sedunia 2011 juga disambut di Kedah Darul Aman dengan penglibatan NUTP Kedah.
Sokongan padu serta semangat perjuangan ahli NUTP telah membawa bendera NUTP ke puncak yang tertinggi dengan selesainya banyak aduan ahli malah keluhan ahli pun semakin berkurangan. Sememangnya tanpa komitmen dan usaha gigih wira-wira NUTP serta ahli NUTP, keadaan tersebut tidak akan wujud.
Insan yang digelar guru memikul tanggungjawab yang amat berat. Kepada guru diserahkan anak kita dan kepada guru diserahkan bunga bangsa kita untuk dididik demi menghasilkan modal insan yang berkualiti dalam proses mentransformasikan negara untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Dalam Pembentangan Bajet 2012, YAB Perdana Menteri Malaysia, telah mengumumkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang menjanjikan satu sistem saraan yang lebih menarik, gaji lebih tinggi dan tiada guru yang bergaji mati. Guru harus sedar dengan penerimaan saraan yang lebih baik, prestasi dan produktiviti juga perlu dipertingkatkan.
Yang dinanti-nantikan Perkeliling JPA Bil.13 Tahun 2011 (SBPA) telah disiarkan. Antaranya Jadual Gaji Sebaris (JGS) menggantikan Jadual Gaji Matriks (JGM) yang telah menimbulkan kes anomali, perasaan tidak puas hati dan sakit hati di kalangan sesetengah guru. Pokoknya, JGS ini dapat menyelesaikan masalah-masalah yang didatangkan oleh JGM yang lama.
Bagaimanapun, konsep yang diundangkan oleh SBPA amat mengharukan kerana berlandaskan:
"sesuai sukat dengan timbangnya,
sesuai peluh dengan upahnya,
sesuai penat dengan dapatnya,
sesuai hukum dengan salahnya
sesuai alur dengan patutnya."
Sekaligus, Dasar Pemisah (Exit Policy), buat kali pertamanya, diperkenalkan. Namun, ahli NUTP usah risau kerana NUTP akan memantau pelaksanaan dasar tersebut untuk memastikan tiada penganiayaan berlaku kepada ahli NUTP.
Bersama-sama kita menyaksikan pelaksanaan Sistem SBPA. Untuk makluman ahli NUTP jika terdapat perkara tidak puas hati atau masalah teknikal yang timbul semasa pelaksanaan SBPA perlu disalurkan melalui landasan (platform) yang betul. Adalah dijangkakan satu semakan saraan serta pelarasan oleh pihak JPA akan berlaku dalam masa yang terdekat. Sebagai Pelindung dan Pembela Kaum Guru Dulu, Kini dan Selamanya, NUTP akan terus memantau dan bertindak untuk memelihara kebajikan guru serta kualiti pendidikan negara.
"BERSATU KITA BERJAYA"
Yang ikhlas,
SDR. WANG HENG SUAN,AMK.,BKM.
Setiausaha Kehormat KPPK Kedah